Persatuan
Sejarah

Pada 1 Muharam 1404H / 7 Oktober 1983M, satu pertemuan telah diatur oleh Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di antara Haji Mohd. Khair bin Mohd Taib, seorang mualim ilmuan falak dan Karyawan Tamu UKM, dengan pelajar UKM dan peminat ilmu falak.
Pertemuan tersebut bertujuan untuk membincang penubuhan sebuah persatuan falak syarie di Malaysia. Seramai 21 orang telah hadir, kebanyakannya murid beliau. Pertemuan ini telah bersetuju menubuhkan persatuan yang diberi nama Persatuan Falak Syar’i Malaysia (PFSM). Satu Jawatankuasa Penaja telah ditubuhkan dengan Hj Mohd Khair dilantik sebagai Penasihat.
Pada 16 Rabiulawal 1406H / 29 November 1985M, Pendaftar Pertubuhan Malaysia telah meluluskan pendaftaran PFSM dengan nombor pendaftaran 3782/85.
Majlis pelancaran rasmi PFSM telah disempurnakan oleh YB Dato’ Dr. Mohd. Yusof Noor, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, di Pusat Islam Kuala Lumpur pada 17 Ramadan 1406H / 26 Mei 1986M.

Jawatankuasa Persatuan 2019-2021


Aktiviti Utama
Program Angkasawan Malaysia







Malaysia telah menghantar Dato’ Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie bin Sheikh Mustapha sebagai angkasawan Malaysia pertama. Beliau dilancarkan Baikonur Cosmodrome ke International Space Station, berada disana pada 10-21 October 2007 bersamaan 28 Ramadan – 9 Syawal 1428.
PFSM telah memainkan peranan penting dalam perancangan, persembahan pemikiran dan perbincangan dalam seminar tersebut. Tuan Syed Kamarulzaman Kabeer (Naib YDP PFSM) diberikan amanah oleh ANGKASA untuk merancang dan mengelolakan keseluruhan seminar tersebut. Kertas kerja ‘Perlaksanaan Ibadah Di Angkasa’ telah disampaikan oleh Dr Abdullah Ibrahim (mantan YDP pertama PFSM). YDP PFSM ketika itu, Ustaz Abdul Rahaman Husin telah mempengerusikan satu sesi penyampaian. Hj Kassim Bahali, Setiausaha PFSM, dan Dr Abdul Halim Abdul Aziz, ahli jawatankuasa PFSM, pula dipertanggungjawabkan untuk menyediakan resolusi seminar.
Resolusi seminar itu telah dibawa oleh JAKIM ke Majlis Fatwa Kebangsan untuk dikeluarkan fatwa dan panduan beribadah di angkasa dan hasilnya, satu buku panduan, ‘Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah di International Space Station, ISS’ telah diterbitkan oeh JAKIM, bagi kegunaan angkasawan Malaysia pertama. Buku panduan itu juga telah mendapat sambutan daripada banyak Negara lain.
Waktu Solat Dalam Penerbangan








Persatuan Falak Syar’i Malaysia (PFSM) telah diamanahkan untuk melaksanakan projek Waktu Solat Dalam Penerbangan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan kerjasama Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), iaitu pengumpulan data fenomena falak dan penghasilan satu sofwer untuk dimasukkan kedalam Sistem Hiburan Dalam Penerbangan(SHDP) pesawat dan sofwer untuk dimasukkan dalam laman web JAKIM, dan apps untuk telefon pintar, untuk kegunaan musafir Muslim.
PFSM telah menggunakan satu pasukan saintis dan ulama tempatan untuk menjalankan kajian fenomena langit dan Matahari untuk mendapatkan parameter yang diperlukan bagi penentuan waktu solat diatas altitud penerbangan lazim bagi penerbangan komersial. Kajian meliputi 45 penerbangan mulai tahun 2009 hingga 2012.
Pembangunan Sofwer MyMuwaqqit




Persatuan Falak Syar’i Malaysia (PFSM) telah mengambil satu inisiatif menyediakan penyelesaian untuk umat Islam menentukan waktu solat dalam penerbangan. Inisiatif ini tercetus disebabkan kegusaran umat Islam mengenai waktu solat ketika berada dalam penerbangan disebabkan ketiadaan panduan yang tepat.
Hasil kajian Projek Waktu Solat dalam Penerbangan, itu telah digunakan untuk mengeluarkan perisian yang boleh membantu musafir Muslim melaksanakan solat pada waktunya dalam penerbangan.
Perisian itu telah dibangunkan oleh En Abdul Rahonny Yusof, ahli Jawatankuasa PFSM, dengan kerjasama syarikat perisian First Tech Sdn Bhd. Pembangunan perisian ini telah dibiayai oleh Yayasan Angkasawan Malaysia, daripada dana Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan dihasilkan dengan kerjasama kepakaran PFSM.
Perisian Mymuwaqqit telah disahkan oleh Panel Pakar Falak JAKIM pada 18hb November 2015.
Tiga versi perisian telah dihasilkan;
- mymuwaqqit.com iaitu suatu laman sesawang bagi mendapat waktu solat bagi semua syarikat penerbangan komersial;
- mymuwaqqit.com/th untuk penerbangan Haji cater Lembaga Tabung Haji.
- Aplikasi mymuwaqqit untuk telefon pintar dengan system Android telah dibangunkan untuk mendapatkan waktu solat bagi penerbangan komersial.
Kajian Waktu Fajar
Satu lagi projek kajian yang telah dilakukan oleh Persatuan adalah kajian ‘Kajian Semula sudut Fajar Sadiq, Permulaan Waktu Subuh dan Isya’, dengan kerjasama Jabatan Mufti Melaka.
Ahli falak syarie di Malaysia sudah sekian lama mengamalkan sudut tunduk Fajar 20 darjah dan sudut tunduk Isya 18 darjah. Nilai sudut ini adalah berdasarkan kepada amalan Sheikh Tahir Jalaluddin. Walau bagaimanapun, ulama negeri Kelantan menggunakan sudut tunduk untuk Fajar 19 darjah dan untuk Isya 17 darjah.
Pengkaji telah menjalankan pengkajian awal fajar di beberapa lokasi di Jasin Melaka, Gunung Ledang dan Mersing Johor, Kudat Sabah, dan di Negeri Pahang.
Kajian juga telah dijalankan di Pattani Thailand.






Krew Kembara Angkasa








Satu kumpulan pengerak ‘Krew Kembara Angkasa’ (KKA) telah ditubuhkan bertujuan untuk membawa aktiviti berkaitan falak kepada pelajar dan murid sekolah. Aktiviti yang dijalankan adalah pameran, cerapan matahari, bulan, planet dan asas falak. Pelbagai aktiviti telah dijalankan untuk menimbulkan minat peserta di peringkat awal.
Kerjasama juga terjalin dengan kumpulan lain seperti Apadilangit dan Adab Youth Garage ABIM untuk mendekati pelajar, terutama daripada golongan B40 yang tinggal di flat PPR, untuk menganjurkan program falak. Tujuan utama program adalah:
- Memperkenalkan ilmu falak sebagai satu cabang ilmu sains yang sentiasa seiring dengan kehidupan manusia sebagai wadah untuk mengenal Allah
- Membantu usaha mempelbagaikan aktiviti malam untuk belia agar minat mereka terarah kepada aktiviti sihat
- Membina kemahiran peserta dalam berinteraksi dengan alam semesta melalui cerapan cakerawala fenomena alam.
- Membina minat peserta kepada STEM sebagai satu wadah kejayaan masyarakat.