Cara Membaca Waktu & Tarikh

Spread the love

Waktu & Tarikh diperolehi daripada posisi jatuh bayang hujung gnomon (peranti penghasil bayang) diatas garisan mizwalah.

Masa yang ditunjukkan pada jam matahari adalah Waktu Ketara Tempatan (WKT) dan disetempatkan untuk lokasi dimana jam matahari direka. Waktu yang lazim digunakan seharian dan ditunjukkan oleh jam mekanikal atau elektronik adalah Waktu Piawai Malaysia (WPT). Kedua waktu itu tidak sama dan perlu ditukar untuk mendapat nilai dalam sistem berkenaan.

Waktu Ketara Tempatan yang ditunjukkan diatas mizwalah telah pun dikoreksi dengan perbezaan longitud setempat dan longitud untuk zon waktu Malaysia. Longitud setempat adalah longitud dimana letaknya mizwalah itu. Longitud untuk zon waktu Malaysia adalah 120 darjah Timur.

Sebagai contoh:

Longitud Mizwalah Pusat Islam Al Muttaqin, Kuala Nerus , Terengganu adalah 103 darjah 3 min 25saat Timur. Perbezaan longitud dengan longitud zon waktu Malaysia ( di 120 darjah Timur) adalah 16 darjah 56 min 35 s. Ini bersamaan dengan waktu 1 jam 7 min 46 saat yang telah ditambahkan kepada perkiraan waktu ketara tempatan bagi mizwalah itu.

Waktu Ketara Tempatan tidak malar , tetapi Waktu Piawai Malaysia malar. Dinyatakan disini cara menukarkan masa yang dibaca pada mizwalah kepada Waktu Piawai Malaysia.

Contoh 1, untuk waktu zohor pada 21hb Mac: lihat dimana bayang gnomon berada diatas permukaan mizwalah, waktu yang ditunjukkan adalah 1:14 petang. Boleh dianggarkan daripada posisi bayang diantara garisan menegak.

Untuk mendapatkan Waktu Piawai Malaysia, tambahkan Persamaan Waktu, daripada gambarajah Persamaan Waktu dibawah ini, untuk 21hb Mac, iaitu 7min, untuk mendapatkan waktu zohor ialah 1:14 + 7 = 1:21 petang.

Contoh 2, bila bayangan gnomon jatuh atas garisan 3:30 petang pada 26 Okt. Dapatkan Persamaan Waktu untuk 26 Okt, iaitu -16min.

Waktu Piawai Malaysia adalah 3:30 -16min, iaitu 3:14 petang.

Tarikh boleh juga didapati daripada posisi bayang diatas garisan melintang mizwalah. Garisan awal bulan setiap bulan Masehi/ Gregorian ditandakan. Garisan bagi awal bulan Januari hingga Jun berwarna BIRU. Garisan bagi awal bulan Julai hingga Disember berwarna MERAH.

Garisan melintang Solstis Musim Sejuk (Winter Solstice), yang berlaku pada 21 atau 22 Disember setiap tahun, berwarna MERAH. Garisan melintang Solstis Musim Panas (Summer Solstice), yang berlaku pada 20 atau 21 Jun setiap tahun, berwarna BIRU.

Garisan melintang berwarna HITAM, menandakan dua Ekuinoks. Iaitu Ekuinoks Musim Bunga ( Spring Equinox) yang berlaku pada 19 atau 21 Mac dan juga Ekuinoks Musim Luruh ( Autumnal Equinox) yang berlaku diantara 21 ke 24 September.

Perubahan waktu mizwalah tidak malar

Waktu yang ditunjukkan pada mizwalah adalah berdasarkan kepada pergerakkan ketara Matahari sebenar. Bayang gnomon akan bergerak mengikut posisi Matahari dilangit. Perubahan waktu mizwalah tidak malar kerana dua sebab utama:

Orbit Bumi mengelilingi Matahari adalah berbentuk elips dan ini menyebabkan kelajuan Bumi menjadi perlahan ketika ia jauh dengan Matahari atau laju bila dekat dengan Matahari.

Animasi ini menunjukkan bagaimana kelajuan Bumi mengelilingi Matahari berubah; laju bila Bumi hampir dengan Matahari dan perlahan bila Bumi berjauhan daripada Matahari. Penyebab utama ialah tarikkan graviti yang kuat bila Bumi hampir dengan Matahari dan tarikkan graviti yang berkurangan bila Bumi  berjauhan.

Bumi paling dekat dengan Matahari dalam bulan Januari ( Perihelion) dan paling jauh daripada Matahari pada bulan Julai ( Aphelion) setiap tahun.

Kelajuan Bumi berubah dalam orbitnya mengelilingi Matahari

Paksi Bumi juga tercondong dengan satah orbit ini sebanyak 23.5 darjah dalam orbitnya mengelilingi Matahari. Animasi berikut menunjukkannya:

Paksi Bumi tercodong kepada satah orbitnya mengelilingi Matahari