Home
Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.
Al Quran Surah Yunus:5
Pengukuran Masa
Secara tradisi masa telah diukur dengan mengukur pergerakkan ketara Matahari dan Bulan di langit.
Pergerakkan Matahari sehari semalam, digunakan untuk mengukur masa dalam tempoh 24 jam.
Fasa Bulan pula, mengukur perjalanan masa melebehi satu hari.
Pada awalnya, kayu atau tongkat yang terpacak dalam pasir merupakan peralatan yang paling awal digunakan untuk mengira masa yang berlalu. Masa dikira dengan posisi bayang tongkat atau peranti dipasir. Peranti itu dinamakan gnomon.
Bila siang berlalu, Matahari akan bergerak dilangit dan mengakibatkan bayang gnomon itu bergerak dan menandakan perjalanan masa.
Masa yang ditunjukkan oleh jam gnomon itu tidak sama. Ianya panjang di musim panas dan pendek di musim sejuk.
Jam Matahari telah digunakan oleh pelbagai tamadun, sejak zaman azali, untuk mengukur masa.
Bahagian Jam Matahari
Jam Matahari mempunyai 2 bahagian utama:
1. Gnomon: peranti untuk menghasilkan bayang
2. Plat Jam Matahari: dimana dilakarkan garisan waktu dan tarikh
Inovasi Ibn Shatir
Muwaqqit (ahli falak professional yang berkhidmat di masjid dan masdrasah) terkenal di masjid Umayyad di Damsyik, Ala Al-Din Abu’l-Hasan Ali Ibn Ibrahim Ibn al-Shatir (1371M) telah merekakan dan membuat satu jam matahari jenis mengufuk (horizontal) yang dipasangkan di menara masjid itu untuk mengukur pelbagai jenis waktu. Ini adalah jam matahari yang pertama di mana peranti gnomonnya selari dengan paksi polar, iaitu tercondong 33½°daripada ufuk, iaitu nilai untuk latitude Damsyik.
Sebelum rekaan jam matahari Ibn Shatir, waktu jam yang diukur adalah tidak sama panjang. Ini kerana waktu jam ‘unequal or temporal hours’ itu berbeza panjangnya mengikut musim; iaitu masa hari lebih panjang ketika musim panas dan masa hari daripada syuruk hingga maghrib lebih pendek pada masa musim sejuk. Dengan inovasi Ibn Shatir, dimana gnomonnya selari dan mengarah kepada kutub utara samawi, waktu jam itu akan sama panjang seluruh tahun.
.
Jam Matahari Kuno
Jam Matahari telah digunakan oleh pelbagai tamaddun untuk mengira masa.
Jam Matahari terdapat dalam tamaddun kuno Mesir, Babylon, Rome, Yunani, Cina dan India.
Jam Matahari Tamaddun Islam
Jam matahari yang mungkin tertua dalam dunia Islam adalah tongkat istiwa di Masjid Janad di Yemen, yang masih wujud, yang dinamakan tongkat (‘asa) Mu’adh ibn Jabal, Govenor yang dilantik oleh Rasullulah ke Yaman. Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz (tahun 720M) telah diberitakan juga sebagai seorang yang telah mendirikan dan belajar menggunakan jam matahari (nasaba sa’at) untuk perkiraan waktu dan waktu solat.
Sepanjang sejarah falak Islam, kita dapati ahli falak Islam telah menanam jasa dengan kajian dan penulisan mereka mengenai tiori dan pembuatan jam matahari. Ahli falak seperti Al Khawarizmi, Thabit Ibn Qurra, Habash al Hasib, Ibn Al Adami dan lain lain telah mengeluarkan jadual pembuatan jam matahari dalam zij zij mereka yang kemudian digunakan di Europa beberapa abad kemudian. Jam matahari pula didapati di masjid, madrassah, taman dan bangunan di seluruh dunia Islam daripada Afghanistan hingga ke Andalusia.
Jam Matahari Moden
Kini, Jam Matahari masih boleh ditemui didalam taman, kawasan rekreasi dan di institusi, terutamanya di negara Barat.
Jam Matahari kini lebih sebagai artifak budaya dan sains.